Thursday, 27 April 2023

Pengembaraan Eg dan Bali Part 2 : Bahagia


"Kau rasa bahagia tu setakat mana?" 

Terpacul soalan kepada Bali seraya aku melihat pada barisan orang yang menunggu giliran pada mesin vending yang menjual "BAHAGIA" dalam bentuk tin. Di sebelah mesin itu, duduknya seorang lelaki berusia dalam 40-an di kerusi camping sedang memerhatikan jika-jika mesin tersebut mengalami kerosakan. Dari riak mukanya, dia kelihatan tenang mungkin kerana mesinnya beroperasi dengan baik. Menukar perniagaannya daripada manual kepada vending adalah pilihan tepat, kerana tahun lepas gerainya diserbu dan terdapat pelanggan yang bergaduh hingga bertumbuk kerana berebutkan barang stok terakhir.

"Kenapa kau tanya?" Bali menyoal soalan aku lantas menyuap sushi yang terakhir. 

"Bukan sepatutnya pengakhiran kita mesti bahagia ke?"

"Kau dah tengok filem Jojo Rabbit?" balas Bali sedikit lambat kerana menghabiskan kunyahan.

"Pernah, Kenapa?" Walaupun pernah, aku cuba mengimbas kembali memori aku menonton filem tersebut supaya aku dapat tangkap apa yang akan Bali cakap kemudian.

"Dalam filem tu wujud satu quote : Let everything happen to you. Beauty or terror, no feeling is final". Apa-apa perasaan yang kau hadapi sekarang bukanlah perasaan yang terakhir dan ia takkan kekal. Seperti roda yang berputar, bahagia akan sentiasa menjengah kau. Tapi dalam masa yang sama kau perlu buka pintu kepada perasaan lain untuk mematangkan kau"

Pandangan kami sekarang terarah ke mesin tersebut. Dalam masa yang sama, fikiran aku cuba memahami apa yang Bali katakan.

"Tok, Tok" Cermin kereta diketuk.

Kelihatan seorang perempuan tersenyum simpul sambil tangannya memberi arahan supaya cermin diturunkan. 

Dengan cepat aku menurunkan cermin. 

"Abang, Ini ada satu tin BAHAGIA owner hadiahkan untuk abang, sebab dia cakap nasihat abang tahun lepas untuk dia tukar pakai mesin vending memang betul-betul efisien. Dia berterima kasih untuk nasihat tersebut"  perempuan itu menghulurkan tin lalu berlalu pergi.

"Kan aku dah cakap bahagia akan menjengah". Bali mencelah lalu tangannya memulaskan kunci kereta. Perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment